KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-24 dengan memperkenalkan empat inisiatif strategik bagi tahun 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua inisiaif itu bertujuan memperkukuh tadbir urus korporat dan memudah cara urusan perniagaan di Malaysia.
“Sejak ditubuhkan pada 16 April 2002, SSM komited melaksanakan mandat sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara yang berpaksikan visi menjadi peneraju terulung dalam bidang berkenaan.
“Legasi kejayaan SSM dalam melaksanakan kefungsiannya adalah berpaksikan komitmen dan profesionalisme warganya dalam memperkukuh tadbir urus korporat negara, bergerak seiring dengan tuntutan zaman,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, bersempena simbolik angka 24 tahun itu, SSM menggariskan inisiatif penting bagi menyokong ekosistem perniagaan dan meringankan beban komuniti perniagaan.
“Pertama adalah Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Serah Simpan yang bertujuan membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan di bawah Akta Syarikat 2016.
“Syarikat yang menyertai kempen ini berpeluang menerima pengurangan kompaun sehingga 98 peratus bagi kesalahan berkaitan, selain pengecualian tindakan pendakwaan bagi dokumen statutori yang tertunggak.
“Keduanya pula adalah Skim 1 OKU 1 Perniagaan di mana skim ini akan meneruskan sokongan kepada usahawan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Skim ini akan melalui pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan secara percuma setiap tahun bagi menjamin kelangsungan perniagaan mereka,” katanya lagi.
Tambah Armizan, untuk inisiatif ketiga adalah berkenaan pemanjangan tempoh Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) bagi golongan B40 dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian (IPTA/IPTS/Politeknik/Kolej).
“Skim ini akan dilanjutkan daripada tempoh satu tahun kepada dua tahun.
“Inisiatif terakhir adalah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE).
“Ini inisiatif baharu yang akan bermula pada 1 Jun ini, ia bertujuan memberi peluang kepada warga emas menjana pendapatan melalui keusahawanan dan kekal aktif menyumbang kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja SSM atas dedikasi dalam memastikan ketelusan ekosistem perniagaan negara kekal progresif.
“Semoga SSM terus unggul sebagai pengawal selia korporat yang berwibawa, sekali gus memacu agenda yang digariskan di bawah Kerangka Ekonomi Madani,” katanya. – MalaysiaGazette
















