Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 21 NOVEMBER 2025.

PETALING JAYA – Dua ejen pengeluaran wang masing-masing didenda RM115,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik individu lain tanpa kuasa yang sah.

Lim Chan Chuan, 36, yang didakwa atas 23 pertuduhan, didenda RM5,000 atau tiga dan empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan oleh Majistret Farah Azura Mohd Saad dan Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Sementara Koh Ming Han, 28, pula didakwa atas empat pertuduhan dan Farah Azura menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Mengikut 23 pertuduhan, Chan Chuan didakwa memiliki 23 kad ATM milik individu lain, tanpa kuasa yang sah, antara 4.45 petang dan 6.30 petang, pada 3 April lalu, di tiga lokasi berbeza iaitu di sebuah bank di Damansara, di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara dan di sebuah apartmen di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 serta maksimum RM50,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Ming Han pula didakwa memiliki empat kad ATM milik individu lain, tanpa kuasa yang sah, pada masa dan tarikh sama, di hadapan sebuah kedai di pusat beli-belah Damansara dan di sebuah apartmen di sini mengikut seksyen sama.

Berdasarkan fakta kes, pegawai kanan polis yang bertugas di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) Cyberjaya pada 5.43 petang, 1 April lalu, telah menerima panggilan daripada seorang mangsa wanita yang memaklumkan telah ditipu dalam urusan tawaran perkhidmatan pencucian rumah di dalam Facebook melibatkan kerugian berjumlah RM30,000.

Wanita itu melaporkan bahawa pada 1.25 petang, hari sama, dia telah berurusan dengan individu melalui Facebook bagi urusan perkhidmatan pencucian rumah dan telah mengisi maklumat perbankan peribadi miliknya setelah diberikan dua pautan bagi pembayaran deposit sebanyak RM10.

Mangsa kemudian membuat semakan perbankan dalam talian dan mendapati transaksi mencurigakan di dalam dua akaun bank miliknya keseluruhan berjumlah RM30,000 sebelum menghubungi NSRC untuk mendapatkan bantuan awal dan membuat laporan polis.

Pada 3 April lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah membuat tangkapan dan rampasan kesemua kad ATM tersebut daripada kedua-dua tertuduh.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Athirah Jamalullail dan Lim Leong Hui manakala peguam M.N Lo mewakili kedua-dua tertuduh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast