GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyiasat aduan berhubung dakwaan pemindahan nombor pendaftaran kenderaan unik tanpa kebenaran pemilik asal.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam, namun semua dakwaan perlu disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Jika terdapat dakwaan (pemindahan nombor pendaftaran tanpa kebenaran pemilik asal), kami akan menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan prosedur serta undang-undang sedia ada.
“Sebarang tindakan termasuk pemulangan hak milik atau penguatkuasaan hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan pengesahan proses pemindahan yang terlibat.
“Kami perlu menentukan sama ada pemindahan dibuat mengikut undang-undang atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 di The Top Komtar di sini, hari ini.
Tambah beliau, terdapat kemungkinan isu itu berpunca daripada salah faham status pemilikan, dokumen tidak lengkap atau kelemahan dalam proses pengesahan dan bukan semestinya melibatkan kecurian data.
“Ia bukan semestinya disebabkan kecurian data. Kami perlu meneliti sama ada prosedur pemindahan hak milik dipatuhi atau terdapat kelemahan dalam dokumentasi atau pengesahan,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa nombor pendaftaran Toyota Alphard milik syarikatnya dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa, Januari lalu.
Kenderaan berkenaan memiliki nombor pendaftaran popular dan unik iaitu P111 dan ia didakwa dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuannya. – MalaysiaGazette















