Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani kekal beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran yang lebih berani.

Katanya, ia termasuk meningkatkan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion, menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu, serta membimbing lahirnya Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Tambah Anwar, ia bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing.

Sehubungan itu, ujar beliau, pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh, daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan, hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.

“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan Bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden.

“Dalam masa yang sama, akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan, serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Foto: FB Anwar Ibrahim

Lantaran itu, tambah Perdana Menteri, sesi meja bulat bersama usahawah Bumiputera yang disertai beliau semalam bukan sekadar penyuguhan idea, tetapi medan penting untuk melarai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan Bumiputera.

Ujarnya, kerajaan mendengar, menilai, dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.

“Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast