BATU PAHAT – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memberkas pasangan tunang selepas didapati berkhalwat dalam sebuah rumah teres satu tingkat di sini semalam.
Terdahulu, JAINJ menerima aduan awam pasangan tersebut sedang berdua-duaan sebelum operasi cegah maksiat dilakukan pukul 4 petang semalam.
Menurut JAINJ, sebelum serbuan dilakukan, dua penguat kuasa ditugaskan menjaga pintu belakang bagi mengelak mana-mana pihak cuba melarikan diri daripada dicekup.
“Pintu hadapan diketuk dan penguat kuasa memanggil dengan kuat tetapi tiada orang yang menyahut. Lima minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang wanita yang berpakaian seluar panjang dan t-shirt.
“Penguat kuasa masuk ke rumah selepas memperkenalkan diri sebelum memeriksa satu bilik yang bertutup tetapi tidak berkunci,” ujar JAINJ dalam kenyataan.
Kenyataan itu memberitahu, apabila pintu dibuka terdapat seorang lelaki berdiri di belakang pintu dengan memakai seluar panjang dan memakai baju.
Pasangan itu kelihatan tidak senang dan takut dengan kehadiran penguat kuasa yang melakukan serbuan tersebut.
“Apabila ditanya apakah hubungan mereka berdua, mereka jawab sudah bertunang. Secara sah mereka hanya berendut, tiada hubungan mahram dan bukan suami isteri.
“Lelaki ini berumur 20-an, masih bujang dan bekerja di Batu Pahat. Wanita pula berumur 20-an, dalam sistem berstatus anak dara dan bekerja di Batu Pahat juga,” jelas kenyataan berkenaan lagi.
JAINJ memberitahu, pengadu mendakwa lelaki terbabit dikatakan selalu datang ke rumah berkenaan yang disewa wanita berkenaan dan tinggal seorang diri.
Dihafamkan semasa serbuan tersebut mereka berdua baru pulang dari kerja sebelum berdua-duaan di dalam rumah itu.
“Pasangan ini kata mahu nikah hujung tahun ini tapi masalahnya belum apa-apa sudah masuk rumah. Mungkin boleh kalau tarikh nikah itu dicepatkan dan buat majlis ala kadar sahaja,” tambah kenyataan itu.
Susulan itu, pasangan berkenaan ditahan atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette
















