Balai Polis Ulu Tiram.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor memohon rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod pendaftaran lokap dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam, Faizal Rahman yang mewakili tertuduh, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, dan anaknya, Radin Romyullah, 36, memaklumkan, ia bagi membantu mahkamah menilai keterangan saksi pendakwaan ketiga (SP3).

Faizal berkata, SP3 sebelum ini memberitahu mahkamah berlaku perbualan antara saksi itu dengan kedua-dua tertuduh ketika direman dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam namun anak guamnya mendakwa mereka ditempatkan di sel berbeza.

“Berdasarkan arahan anak guam, hasil pertemuan di penjara pada 15 April lalu, kami mendapati kemasukan ke dalam sel lokap tertuduh pertama dan tertuduh kedua adalah berbeza dengan SP3.

“Justeru, kami percaya rekod pendaftaran lokap dan rakaman CCTV yang berada dalam kawalan pihak pendakwaan adalah relevan untuk dikemukakan kepada mahkamah bagi memastikan penilaian yang adil dapat dibuat,” katanya pada prosiding perbicaraan kes ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan pihak pembelaan mendapati kedua-dua tertuduh ditempatkan di bahagian hadapan lokap manakala tahanan lain termasuk SP3 dipercayai berada di bahagian berbeza.

“Perkara ini penting bagi mengelakkan situasi keterangan lisan saksi bertembung dengan keterangan lisan anak guam kami.

“Jika rakaman CCTV menunjukkan tiada pertemuan berlaku dalam sel yang sama, ia secara langsung memberi implikasi besar terhadap kredibiliti keterangan SP3,” katanya.

Faizal berkata, permohonan itu pada awalnya dikemukakan melalui surat kepada pihak pendakwaan pada tarikh sama lawatan penjara dibuat namun bersedia memfailkan permohonan rasmi mengikut peruntukan undang-undang sekiranya diperlukan.

“Ini bukan serangan terhadap saksi, sebaliknya dokumen berkenaan adalah material bagi membantu mahkamah mencapai keputusan yang adil.

“Keterangan berkaitan perbualan itu adalah isu utama dalam kes ini dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, permohonan berkenaan perlu difailkan secara rasmi mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah serta perlu membuktikan kerelevanan dokumen yang dimohon.

Pendakwaan turut membangkitkan isu sama ada permohonan itu bersifat kolateral terhadap kredibiliti saksi yang akan dihujahkan dalam bantahan mereka kelak.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor kemudian memaklumkan bahawa pihak pembelaan perlu mengemukakan permohonan rasmi bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan perkara itu.

Perbicaraan bersambung 27 April depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast