KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memengesahkan keadaan dirinya sudah stabil apabila bengkak di kaki sudah surut susulan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14.2, Lebuh Raya MEX di sini petang semalam.
Malah ibu kepada dua anak itu sempat bergurau bahawa dia kini sudah mampu melakukan aktiviti seperti ‘lompat katak’ bagi membuktikan keadaan kakinya itu.
“Semalam letak ais lama dan makan pil painkiller.. Alhamdulillah, surut dah bengkak. Tak sakit dan boleh lompat katak dah. Terima kasih semua yang mendoakan,” tulis di media sosial Threads miliknya hari ini.
Semalam, pengurusnya, Rozi memberitahu, Siti mengalami lebam dan bengkak pada kaki berikutan kemalangan itu.
Rozi berkata, kemalangan itu berlaku ketika mereka menggunakan Lebuh Raya MEX selepas Siti membuat persembahan di RedQ AirAsia, Sepang.
“Salam semua. Ramai yang hubungi kami bertanyakan Siti. Kami (menaiki) dua kereta baru selesai membuat persembahan di RedQ AirAsia Sepang.
Menerusi hantaran video di Instagram (IG) pula, Siti memberitahu, dia hanya mengalami bengkak pada kaki dan sudah membuat imbasan X-ray berikutan bimbang ligamen pada bahagian itu terkoyak.
Siti mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya, selain menjelaskan dia perlu mengambil masa untuk berehat.
“Terima kasih semua yang mendoakan saya. Memang agak terkejut juga. Tetapi, iyalah kalau sudah hendak jadi. Alhamdulillah, saya tidak ada kecederaan serius.
“Cuma kaki saya bengkak dan ligamen takut terkoyak. Saya sudah buat x-Ray dan balut kaki. Jadi, mungkin kena rehat sekarang baru rasa berdenyut.
“Saya harap cepat sembuh sebab ada acara. Terima kasih semua yang mendoakan saya,” katanya.
Petang semalam, Siti dan pengurus, Rozi Abdul Razak bersama beberapa individu lain terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14.2, Lebuhraya MEX di sini.
Melalui hantaran Instagram Story, Rozi memberitahu, Siti mengalami lebam dan bengkak pada kaki berikutan kemalangan itu. – MalaysiaGazette
















