Foto: Julaimin Kamin melalui FB Sabah Parks.

KOTA KINABALU – Taman-Taman Sabah memantau kejadian pembekuan ais di kawasan substesen Panalaban Taman Kinabalu pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut, yang direkodkan semalam.

Taman-Taman Sabah menerusi kenyataan memaklumkan, fenomena itu berlaku susulan keadaan cuaca kering dan kelembapan udara yang rendah di kawasan Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini.

“Keadaan itu menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, lalu mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran base camp (khemah induk) Panalaban,” menurut kenyataan itu hari ini.

Taman-Taman Sabah menjelaskan pembekuan ais merupakan fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu.

Fenomena itu juga berlaku terutamanya ketika cuaca cerah, kering, dan suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi, tambah kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Taman-Taman Sabah menasihatkan pendaki, malim gunung, porter dan petugas di kawasan Panalaban supaya memakai pakaian yang bersesuaian dengan cuaca sejuk, kekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan daripada pengurusan serta petugas Taman-Taman Sabah.

“Pihak Taman-Taman Sabah akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast