KUALA LUMPUR – Kepelbagaian budaya dan tradisi di Malaysia bukan sekadar identiti, sebaliknya menjadi asas kukuh kepada perpaduan nasional yang perlu terus dipelihara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sambutan seperti Pesta Vaisakhi bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Sikh malah menyemarakkan semangat perkhidmatan, kebersamaan dan keadilan yang menjadi teras kekuatan negara.
Menurutnya, keunikan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat berbilang kaum untuk hidup dalam harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Kekuatan kita terletak pada kepelbagaian kita. Budaya, tradisi dan keharmonian bukan sekadar penanda identiti, tetapi asas sebenar perpaduan kita,” katanya ketika merasmikan Festival Vaisakhi 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Dalam ucapannya, Anwar turut memberi penghormatan kepada komuniti Sikh di Malaysia yang disifatkan telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan negara selain mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan hidupnya.
Beliau mengimbau detik sukar dalam kerjaya politiknya apabila menerima sokongan daripada keluarga Sikh ketika berdepan tindakan mahkamah dan tempoh pemenjaraan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghormatan kepada mendiang Karpal Singh yang dianggap sebagai figura penting dalam perjuangannya.
Dalam nada berseloroh, beliau turut menyentuh hubungan rapatnya dengan Gobind Singh Deo yang pernah menjadi peguamnya sebelum menyertai Kabinet.
“Kadangkala saya tidak pasti sama ada beliau bercakap sebagai peguam saya atau sebagai anggota Kabinet. Saya terpaksa ingatkan beliau, ‘Hey Gobind, anda di sini sebagai anggota Kabinet, bukan peguam saya’,” katanya yang disambut tepukan hadirin.
Anwar menegaskan, hubungan tersebut mencerminkan keindahan semangat rakyat Malaysia di mana perbezaan budaya, bangsa dan agama tidak menghalang mereka untuk berjuang bersama demi idealisme yang sama.
“Inilah contoh terbaik bagaimana kita berkongsi inspirasi dan menunjukkan kasih sayang sebagai rakyat Malaysia yang percaya kepada cita-cita murni ini,” katanya. – MalaysiaGazette















