Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, dakwaan tersebut disifatkan mengelirukan dan tidak tepat.

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat sama sekali, serta bersifat spekulatif dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar perbincangan di peringkat Keadilan AMK mahupun Pakatan Harapan setakat ini.

“Keadilan Johor terus komited memperkukuh kerjasama bersama rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya di negeri Johor demi memastikan kestabilan dan kelangsungan agenda reformasi untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang pertimbangan berkaitan strategi menghadapi PRN Johor akan ditentukan melalui proses perundingan yang tersusun di peringkat dalaman pimpinan parti dan dibincangkan juga di peringkat Pakatan Harapan (PH) negeri serta juga peringkat nasional.

Pada masa ini katanya, keutamaan PKR Johor adalah untuk terus memperkukuh gerak kerja di lapangan bersama rakan-rakan dalam PH serta menyokong usaha-usaha dan dasar-dasar kerajaan Persekutuan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Khususnya jelas beliau, dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kenaikan harga barang.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi yang tidak berasaskan fakta kerana tindakan sedemikian tidak membantu usaha membina keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik khususnya di peringkat negeri serta kerjasama antara parti-parti yang sedang berjalan ketika ini,” katanya.

Semalam, portal ini melaporkan PKR Johor bakal bertanding solo dalam PRN negeri namun keputusan itu belum diputuskan lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast