KAJANG – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Persatuan Penduduk Taman Kantan Permai (TKP) berjaya menghimpunkan kira-kira 800 penduduk dalam suasana meriah sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim komuniti setempat.
Program yang telah dirancang sejak sebulan lalu itu turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz dan Pengerusi Persatuan Penduduk TKP, Ismail Hori.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang majlis termasuk pertandingan gerai tercantik, layanan terbaik serta sajian makanan yang memikat selera pengunjung.
Antara hidangan yang disediakan di gerai-gerai ialah nasi tomato, nasi impit bersama kuah kacang, ayam bakar, buah-buahan, minuman air balang serta aneka kuih-muih dan pelbagai juadah lain.

Sub Inspektor Suharmizi Ismail (tengah) bergambar bersama pemenang gerai tercantik pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Komuniti Taman Kantan Permai, Kajang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 APRIL 2026
Pengurus program, Azman Mohd Zin berkata, majlis tersebut diadakan bagi mengeratkan silaturahim sesama penduduk selain memupuk semangat ukhuwah yang berpanjangan dalam kalangan komuniti.
Majlis ini juga merupakan acara tahunan dan akan terus dianjurkan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan kejiranan terus kukuh.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Taman Kantan Permai,” katanya. – MalaysiaGazette
















