SHAH ALAM – Kedah adalah padang terbuka buat mana-mana figura politik, termasuk Khairy Jamaluddin untuk bertanding.
Pengerusi Perikatan Nasional Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan malah mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin mencuba nasib di bawah sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“KJ (Khairy Jamaludin) mak dia orang Kedah, dia fahamlah budaya orang Kedah.
“Terpulanglah, negara bebas, demokrasi.
“Siapa pun boleh bertanding di mana-mana, saya alu-alukanlah siapa nak bertanding di Kedah cuba nasib,” katanya kepada media selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan 2026 di sini hari ini.
Muhammad Sanusi yang menerajui pentadbiran negeri sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 bersedia mendepani apa jua cabaran daripada pihak lawan.
Jelasnya, keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat Kedah untuk menentukan siapa yang layak mewakili suara mereka.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Safwan Jaafar menerusi satu kenyataan berkata, Barisan Nasional Kedah memerlukan seorang figura yang dilihat mampu memberi nafas baharu bagi memacu pertumbuhan politik, ekonomi dan sosial negeri ini.
Jelasnya, figura seperti Khairy adalah contoh terbaik untuk kembali menawan Kedah berbekalkan ideologi dan pemikiran yang dilihat boleh merangsang perubahan dari segi pemikiran rakyat negeri tersebut. -MalaysiaGazette
















