KUALA LUMPUR – Kira-kira dua ratus rumah kediaman atas air di Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.32 pagi itu, kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan keseluruhan sekitar 300 meter persegi dan terbakar hampir 100 peratus.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 1.48 pagi dan mendapati kebakaran sudah marak melibatkan kawasan penempatan atas air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Komander Operasi, PgB Jasri Ab Jal berkata, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit yang menghalang pergerakan jentera ke lokasi.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka, manakala faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain menyebabkan api cepat merebak,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan, manakala pasukan bantuan dari BBP Kinabatangan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan.
“Sumber air diperoleh daripada lori tangki air serta pili bertekanan milik kilang IOI berhampiran,” katanya.
Operasi turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Setakat ini, tiada laporan mengenai mangsa yang terkorban atau cedera dilaporkan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















