Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok dan lusa bagi menyambung perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Berdasarkan semakan laman web kehakiman, prosiding selama dua hari itu dijadual didengar sehingga Selasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pada 3 Mac lalu, Azura bertegas mahukan perbicaraan yang masih di peringkat pendakwaan, diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selewat-lewatnya Jun ini.

“Kes ini sudah lama dan berlarutan, jadi saya kena control (kawal) kes ini. Saya punya target (sasaran) nak habiskan kes pendakwaan selewat-lewatnya Jun ini,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika menangguhkan prosiding ekoran permohonan ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja yang memaklumkan dia mengalami demam dan batuk.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, selain Gnanaraja yang juga saksi pendakwaan ke-37, saksi terakhir yang akan dipanggil ialah pegawai penyiasat yang akan disoal balas oleh peguam.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast