KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka mengumumkan ‘rumah baharu’ yang akan disertai beliau pada Mei depan, selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu itu mendakwa, ‘rumah baharu’ itu bakal mempunyai kekuatan besar dengan jumlah keahlian mencecah ratusan ribu orang.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, perincian mengenainya belum dapat didedahkan kerana perbincangan berkaitan masih giat dijalankan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), selain nama rasmi entiti itu masih belum dimuktamadkan.
“Buat masa ini, perbincangan sedang giat dijalankan dengan ROS untuk memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat, sekali gus mengelakkan timbul isu teknikal atau perundangan pada masa depan.
“Setakat ini, penyusunan pada peringkat bahagian berjalan lancar dengan lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan.
“Jumlah keseluruhan dijangka mencecah sekitar 150 bahagian dalam tempoh terdekat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Hamzah yang juga bekas Ketua Pembangkang berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau, Larut hari ini.
Hamzah berkata, beliau mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas lanjut mengenai struktur dan hala tuju parti itu, memandangkan sensitiviti politik semasa serta kemungkinan timbul pelbagai persepsi negatif daripada pihak tertentu. – MalaysiaGazette
















