WASHINGTON – Polis berkata `beberapa’ orang cedera dalam satu kejadian tembakan di Universiti Iowa awal pagi Ahad, selepas institusi pengajian di Midwest Amerika Syarikat (AS) itu mengeluarkan amaran melaporkan bunyi tembakan di kawasan tersebut.

“Jabatan Polis Iowa City sedang menyiasat satu kejadian tembakan yang berlaku pada Ahad,” kata pihak berkuasa Iowa City dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa “tiada tangkapan dibuat setakat ini.”

“Pada masa ini, beberapa mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan akibat tembakan tersebut.”

Keadaan mangsa tidak diketahui, menurut pihak berkuasa.

ICPD berkata, pegawainya bertindak balas terhadap laporan mengenai “pergaduhan besar” di kampus sejurus sebelum pukul 2 pagi waktu tempatan, sambil menambah bahawa pegawai yang tiba di lokasi “mendengar bunyi tembakan.”

Universiti Iowa berkata terdapat “mangsa yang disahkan” dalam kejadian itu, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai jumlah korban.

Dalam amaran kecemasan, pihak universiti menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan tersebut dan “kekal berwaspada.”

Universiti itu berkata, tembakan dilaporkan berhampiran jalan College dan Clinton di tengah-tengah bandar kolej Midwest tersebut.

Kejadian tembakan adalah sesuatu yang mengejutkan, namun kerap berlaku di kampus sekolah dan universiti di AS.

Pada Februari lalu, dua orang terbunuh akibat tembakan di South Carolina State University, manakala dua lagi terbunuh dan sembilan cedera apabila seorang penembak melepaskan tembakan di dalam sebuah bilik darjah di Brown University pada Disember lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast