Anggota forensik melakukan siasatan di medan selera di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, iaitu lokasi kejadian yang menyebabkan tiga maut semalam.

KOTA TINGGI – Masalah hutang dipercayai menjadi motif dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam ditembak mati di medan selera Taman Kota Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita asing tersebut mempunyai hutang dengan suspek sejak tahun lalu, namun gagal melunaskannya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah hutang berkenaan kerana masih dalam siasatan pihak polis.

“Betul, wanita itu berhutang dengan suspek sejak tahun lalu dan tidak membayar semula. Bagaimanapun, jumlah hutang masih belum dapat disahkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Sidang media akan diadakan selepas siasatan lengkap dan mendapat arahan daripada pihak pendakwa raya,” katanya.

Terdahulu portal ini melaporkan tiga individu maut selepas ditembak menggunakan senapang patah dalam satu kejadian di medan selera berkenaan.

Tiga mangsa itu termasuk wanita Vietnam berusia antara 37 hingga 63 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Warga emas berkenaan yang merupakan seorang pekebun dan mempunyai lesen senjata api yang sah ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast