PUTRAJAYA – Kerajaan kekal optimis dengan ekonomi Malaysia yang dijangka terus berkembang pada 2026 namun tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan daya tahan lebih kukuh berbanding beberapa negara lain di rantau ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan berhati-hati tetap perlu diambil kerana dan kerajaan tidak boleh bersikap sambil lewa di sebalik kelebihan yang sedia ada.
Beliau turut menekankan kepada keperluan dalam usaha berterusan bagi memperkukuh kapasiti dan persediaan negara.
“Data terkini menunjukkan inflasi meningkat sedikit daripada 1.4 peratus pada bulan Februari kepada 1.7 peratus pada bulan Mac.
“Inflasi mesti dinilai berdasarkan komposisi bakul pengguna dan dasar kerajaan semasa telah membantu membendung tekanan harga dengan lebih berkesan berbanding ekonomi kebanyakan negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Sidang Media Hala Tuju Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Akmal menambah, risiko inflasi akan menjadi lebih meluas dan kini tidak lagi terhad kepada faktor berkaitan bahan api.
Peningkatan kos input pengeluaran termasuk bahan mentah yang digunakan dalam pembinaan dan pembuatan juga mula memberi kesan kepada rantaian bekalan.
Selain itu, jangkaan kesan sampingan daripada harga baja yang lebih tinggi yang boleh meningkatkan kos pengeluaran keseluruhan.
“Bagi mengurangkan tekanan ini, kerajaan sedang membina penampan termasuk menyediakan insentif kepada petani untuk mengekalkan aktiviti penanaman dan menyokong bekalan makanan domestik.
“Walaupun tahap inventori semasa dan langkah sedia ada mungkin melambatkan kesan penuh inflasi peningkatan berterusan dalam kos input sama ada disebabkan oleh harga yang lebih tinggi atau kekangan bekalan akhirnya akan mempunyai implikasi ekonomi yang lebih luas,” katanya. – MalaysiaGazette

















