Sumber : Kesultanan Pahang

KUANTAN – Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang bentuk tawaran bantuan kepada orang awam oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti yang disebarkan di platform TikTok.

Kenyataan Kesultanan Pahang memaklumkan, satu akaun palsu di platform itu menggunakan nama Tengku Tengku (@tengku.tengku93) meminta pengguna di medium berkenaan menghantar mesej ke akaun tersebut dengan menyertakan nombor telefon bagi mendapatkan tawaran hadiah yang sebenarnya tidak wujud.

“Tuanku tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan  menggunakan nama dan gambarnya untuk memperdaya orang ramai.

“Begitu juga dengan akaun-akaun palsu terutamanya Facebook dan Tiktok menggunakan nama dan gambar Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya hari ini.

Istana Pahang menegaskan bahawa semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.

Katanya, semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan memiliki kira-kira 773,000 orang pengikut ketika ini.

Sementara itu, di platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang, manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast