KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa institusi pengajian tinggi (IPT) memperkukuh bimbingan serta pemantauan terhadap aktiviti penuntut bagi memastikan kreativiti yang dipamerkan tidak melampaui batas sensitiviti masyarakat.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata insiden persembahan teater di Universiti Malaya (UM) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini wajar dijadikan pengajaran, khususnya dalam memastikan karya penuntut terus berpaksikan nilai budaya dan norma tempatan.
Beliau berkata insiden itu dilihat sebagai kekhilafan penuntut yang teruja untuk menonjolkan bakat seni sehingga terlepas pandang aspek sensitiviti awam, namun tidak mempunyai niat buruk.
“Bagi saya, apa jua yang dilakukan, universiti perlu sentiasa sensitif kerana dalam berkarya, anak-anak muda kadangkala teruja dan tidak mempunyai niat (buruk).
“Justeru, IPT perlu memainkan peranan membimbing dan menasihati bagi memastikan kreativiti penuntut tidak melampaui batas sensitiviti dan tetap memelihara budaya ketimuran,” katanya kepada media selepas melawat Astaka KPT di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.
Azlinda berkata KPT telah menerima laporan rasmi berhubung insiden itu dan menyerahkan kepada pihak universiti untuk mengambil tindakan susulan sewajarnya.
Pada Khamis lepas, UM memohon maaf atas insiden dalam Karnival Teater (KARVITER) dan mengaku terdapat adegan yang dipersembahkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah ditapis, selain melanggar syarat pertandingan kerana mengandungi unsur yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral dan budaya.
Klip adegan itu juga tular di media sosial sekali gus mengundang kecaman pelbagai pihak. – BERNAMA
















