PEKAN – Seorang kakitangan kerajaan di sini kerugian lebih RM100,000 wang simpanannya selepas terpedaya tawaran keuntungan pelaburan yang tidak masuk akal.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, wanita berusia 48 tahun itu pada awalnya tertarik dengan satu iklan pelaburan melalui aplikasi Facebook sekitar awal bulan Februari lalu.
Beliau berkata, pelaburan itu antara lain menawarkan kadar pulangan yang tinggi dalam tempoh masa singkat iaitu dua hingga tiga jam sahaja.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kewangan syarikat pelaburan MIDF dan bersetuju untuk menyertai pelaburan itu.
“Wanita itu yang terpedaya dengan tawaran tersebut telah membuat sebanyak 16 transaksi pembayaran berjumlah RM130,806.16 bermula 14 Februari sehingga 15 April baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaidi, kesemua transaksi pembayaran itu dilakukan mangsa secara atas talian ke lapan akaun bank berbeza.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mula merasa curiga apabila tidak memperoleh sebarang komisen keuntungan seperti yang dijanjikan.
Lebih buruk, mangsa katanya masih diminta untuk membuat pembayaran lain sebagai caj pengesahan hasil pelaburan kepada Jabatan Audit Negara.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pekan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Justeru, beliau menasihati orang awam agar berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa yang singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial. – MalaysiaGazette















