PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) segera menggerakkan pasukan sokongan psikososial ke pusat penempatan sementara (PPS) susulan kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah semalam.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan pantas diperlukan bagi memastikan kesejahteraan mental mangsa terus terpelihara walaupun insiden itu tidak meragut nyawa.
“Walaupun kita tahu tiada kehilangan nyawa, kami telah dimaklumkan oleh pengarah bahawa kami akan segera membuat sokongan susulan dengan barisan hadapan kami, iaitu kaunselor, jururawat serta pembantu perubatan (MA) dan pegawai perubatan (MO) yang merupakan sebahagian daripada pasukan bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2025 (NHMS 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurutnya, pasukan mudah alih kementerian telah dihantar ke PPS bagi memberikan bantuan awal kepada mangsa yang memerlukan sokongan emosi dan psikologi.
“Mereka akan berada di PPS, saya fikir mereka sudah pun berada di sana. Kementerian Kesihatan telah menggerakkan lagi bantuan, khususnya bantuan psikologi. Kami biasanya pantas dalam perkara itu,” katanya lagi.
Tambah beliau, sokongan psikologi merupakan antara keutamaan KKM dalam setiap situasi bencana bagi membantu mangsa menghadapi trauma serta tekanan emosi selepas kejadian tidak dijangka.
KKM turut memantau perkembangan semasa bagi memastikan keperluan kesihatan fizikal dan mental mangsa terus dipenuhi sepanjang berada di PPS.
Awal pagi semalam, kebakaran di Kampung Bahagia memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di kawasan perkampungan atas air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, kebakaran melibatkan kawasan lebih empat hektar dan keadaan laut surut menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air terbuka untuk operasi pemadaman. – MalaysiaGazette
















