GEORGE TOWN – Polis mengesahkan gambar tular memaparkan seorang lelaki berjalan dalam keadaan bogel di kawasan Lebuh Bukit Jambul di sini, dipercayai melibatkan individu kurang siuman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi pada 16 April lalu, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Petugas ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) turut berada di lokasi bagi membantu sebelum lelaki terbabit berjaya ditahan di persimpangan lampu isyarat berhampiran INTI International College Penang di sini.
“Individu tersebut kini sedang menerima rawatan di Wad Psikiatrik Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.
Tambah beliau, semakan awal mendapati lelaki berusia 44 tahun itu berasal dari Batu Kurau, Perak dan dipercayai mengalami gangguan tingkah laku ketika kejadian.
“Usaha mengesan waris sedang dijalankan,” katanya.
Terdahulu tular beberapa keping gambar memaparkan lelaki berkenaan berjalan seorang diri dalam keadaan bogel sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai. – MalaysiaGazette
















