Wee Jeck Seng
Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel mula memberi kesan meluas merentasi rantaian ekonomi sekali gus menimbulkan tekanan kos yang semakin ketara kepada rakyat dan perniagaan kecil, kata Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Naib Presiden MCA itu berkata, impak kenaikan tersebut tidak lagi terhad kepada sektor tertentu sebaliknya sedang meresap secara berperingkat ke dalam kos pengangkutan, makanan, perkhidmatan dan logistik.

Kesan itu berlaku secara perlahan namun konsisten menyebabkan pengguna berdepan peningkatan harga dalam pelbagai aspek kehidupan harian tanpa disedari pada peringkat awal.

“Golongan paling terkesan ialah pekerja berpendapatan tetap, keluarga berpendapatan rendah serta peniaga kecil yang mempunyai ruang terhad untuk menyerap kenaikan kos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeck Seng menjelaskan, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum ini menanggung sendiri peningkatan kos bagi mengelak kenaikan harga mendadak kepada pengguna.

Namun tekanan berterusan akhirnya memaksa peniaga melaraskan harga, dan situasi semasa mencerminkan beban kos yang telah terkumpul sejak beberapa bulan lalu.

“Apabila sektor perkhidmatan akar umbi mula menaikkan harga secara meluas, ini petanda tekanan kos keseluruhan sudah menghampiri tahap kritikal,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, isu tersebut bukan lagi melibatkan satu sektor semata-mata sebaliknya memberi kesan berantai kepada keseluruhan sistem ekonomi termasuk kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, Jeck Seng menggesa kerajaan tidak hanya bergantung kepada langkah subsidi jangka pendek, sebaliknya merangka penyelesaian berstruktur yang lebih stabil dan boleh dijangka.

Katanya, beberapa negara telah melaksanakan pendekatan berperingkat dalam reformasi subsidi bahan api bagi mengurangkan kejutan kepada pasaran dan rakyat.

“Sebagai contoh, Indonesia melaksanakan pelarasan secara berperingkat dengan bantuan tunai, Thailand menggunakan dana bahan api untuk menstabilkan harga manakala India menyesuaikan cukai bahan api secara fleksibel,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya subsidi disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan yang benar-benar bergantung kepada diesel, selain mewujudkan mekanisme penampan bagi mengurus turun naik harga.

Jeck Seng  turut menekankan keperluan sistem pemantauan yang lebih menyeluruh bagi menilai kesan perubahan harga diesel terhadap kos pengangkutan, makanan dan perkhidmatan.

Langkah itu penting bagi mengelak kenaikan harga berlapis serta memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Jika tidak ditangani dengan baik, tekanan kos hari ini berpotensi merebak ke lebih banyak perbelanjaan harian sekali gus menjejaskan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast