GEORGE TOWN – Cadangan melibatkan murid sekolah membersihkan tandas sebagai latihan disiplin dan kebersihan menerima reaksi berbeza daripada Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat yang mencadangkan agar pendekatan itu dimulakan di peringkat pejabat kerajaan sebagai contoh teladan.
Pengerusinya, L. Francis berkata, usaha mendidik murid mengenai kebersihan tidak menjadi isu, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kesesuaian peranan pelajar yang utama iaitu menimba ilmu di sekolah.
“Tidak ada masalah untuk dididik tentang kebersihan, tetapi ia perlu dilaksanakan dengan cara yang lebih seimbang.
“Jika matlamat dasar itu adalah untuk membentuk budaya kebersihan dan tanggungjawab, maka ia lebih wajar diperlihatkan terlebih dahulu oleh institusi awam supaya menjadi contoh kepada pelajar bahawa kebersihan adalah tanggungjawab semua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, aktiviti gotong-royong masih boleh diterima sebagai pendekatan pendidikan nilai, namun tugasan berkala yang mewajibkan murid membersihkan tandas dilihat kurang sesuai dan dibimbangi boleh mengganggu fokus pembelajaran.
Beliau turut berpendapat tanggungjawab menjaga kebersihan tandas sepatutnya dikendalikan oleh pihak sekolah melalui perkhidmatan pembersihan khusus yang terlatih, seperti amalan di kebanyakan institusi dan organisasi lain.
“Kebersihan sekolah sepatutnya diuruskan oleh petugas pembersihan bagi memastikan persekitaran sentiasa terjaga,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Anwar tegas murid perlu dididik jaga kebersihan termasuk bersihkan tandas
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua murid perlu dididik untuk menjaga kebersihan termasuk membersihkan tandas di sekolah.
Tegas beliau, amalan itu tidak wajar dipertikaikan kerana ia boleh dilakukan oleh murid tanpa perli mengira latar belakang keluarga dan kelas dalam masyarakat.
Beliau juga menyifatkan tugas itu bukan sesuatu yang rumit untuk dilakukan dan mahu semua ibu bapa memberi kerjasama, sekali gus melatih anak-anak dalam menilai semua tugas dan kerja.
“Jangan dianggap itu kerja tukang cuci, tukang bersihkan, jadi (seolah-olah) dia macam mengesahkan ada kelas dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















