Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap ketika sidang media mengenai kesinambungan PADU selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di PICC, Malaysia. Foto SADIQ SANI, 20 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang ditambah baik dengan komponen perkhidmatan analitik dijangka meningkatkan lagi kecekapan operasi agensi dan jabatan kerajaan sehingga 70 peratus.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaannya yang bermula Mei ini akan menjimatkan masa dan tenaga dalam proses semakan data kerana agensi tidak lagi perlu berhubung dengan banyak jabatan secara berasingan untuk mendapatkan maklumat.

Menurut beliau, PADU akan terus diperkasa sebagai platform data bersepadu negara agar penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih pantas dan cekap di mana keputusan dasar tidak lagi dibuat semata-mata berdasarkan anggaran sebaliknya disokong data dan elemen statistik lebih tepat.

“Seperti mana jaminan yang saya berikan sebelum ini, PADU bagi tahun 2026 akan ditumpukan kepada aspek perkhidmatan dan pelaksanaan.

“PADU akan berfungsi sebagai ‘back-end’ (enjin data) kepada perkhidmatan kerajaan yang lain serta menyediakan maklum balas kepada rakyat.

“Halaman PADU juga telah dikemas kini bagi menerangkan pendekatan sistem ini sebagai pangkalan data, analitik dan platform data bersepadu (unified platform),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sidang Media Hala Tuju Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap ketika sidang media mengenai kesinambungan PADU selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di PICC, Malaysia. Foto SADIQ SANI, 20 APRIL 2026.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah memberitahu, sebanyak 26 jabatan, agensi kerajaan dan kerajaan negeri menggunakan sistem PADU setakat Mac lalu, sekali gus menunjukkan platform itu semakin meluas digunakan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Menurutnya,  perkembangan tersebut membuktikan peranan PADU kini tidak lagi tertumpu kepada proses pendaftaran semata-mata, sebaliknya turut menyokong pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara lebih menyeluruh.

Beliau memaklumkan satu lagi permohonan baharu dijangka diluluskan dalam masa terdekat membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana PADU kini mempunyai 30.7 juta profil individu hasil integrasi maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan. – MalaysiaGazette

Pangkalan Data Utama. Foto SADIQ SANI, 20 APRIL 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast