Logo polis di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2021.

KOTA BHARU – Polis mengesahkan seorang lelaki cedera pada bahagian dagu selepas terkena tembakan dalam kejadian di Ladang Kemahang, Tanah Merah awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan mencuri lembu.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.26 pagi.

“Sebelum kejadian, pengadu yang juga jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak 1.30 pagi.

“Sekitar 2.30 pagi, mereka terserempak dengan sekumpulan lebih kurang lima lelaki dipercayai warga tempatan dan warga Thailand. Suspek kemudiannya dipercayai bertindak melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haki berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.

Dalam kejadian sama, sebuah motosikal Honda EX5 milik mangsa dilaporkan turut dilarikan oleh seorang daripada suspek dipercayai warga tempatan.

“Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap kesemua individu yang terlibat dan kami menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast