Gambar kejadian. Ihsan IPD Temerloh

TEMERLOH – Sepasang suami isteri warga emas maut dalam nahas membabitkan dua buah kereta di kilometer 134 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kancil bersama cucu mereka yang berusia 13 tahun.

“Sebuah lagi kenderaan terbabit iaitu Perodua Myvi dinaiki tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari arah Kuantan.

“Ketika kejadian, Perodua Myvi itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan, seterusnya melanggar bahagian hadapan Perodua Kancil tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, Mohd Nasyim memaklumkan, mangsa, Zulkifli Md Yusof, 72, yang memandu kereta Perodua Kancil telah tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, isterinya, Radzuan Mohamad, 67, dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, kira-kira tiga jam kemudian.

“Cucu lelaki kedua-dua pasangan itu dilaporkan dalam keadaan kritikal iaitu mengalami kecederaan pada bahu serta kepala dan kini berada di zon merah hospital sama,” katanya lagi.

Beliau berkata, ketiga-tiga anggota tentera terbabit turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di zon kuning hospital yang sama.

Mohd Nasyim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast