Gambar hiasan. Ihsan JAINJ

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan suami orang dan janda yang sedang berkhalwat dalam sebuah pangsapuri di sini, awal pagi tadi.

JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, operasi cegah maksiat dilakukan anggota penguat kuasa pukul 3 pagi selepas menerima maklumat awam serta hasil risikan yang dijalankan.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi, pintu rumah dibuka lima minit kemudian oleh seorang remaja lelaki yang berada dalam kediaman tersebut.

“Pihak penguat kuasa memperkenalkan diri dan meminta kerjasama penghuni terbabit sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan dalam rumah berkenaan.

“Keadaan di ruang tamu samar-samar dan bertanyakan remaja belasan tahun itu untuk tahu, siapa lagi yang berada dalam rumah tersebut.

“Dia menjawab dengan emak dia yang sedang tidur dalam bilik utama. Penguat kuasa tanya emak dengan siapa, remaja itu tidak boleh jawab,” jelas JAINJ dalam kenyataan tersebut.

Hasil pemeriksaan di bilik utama mendapati seorang lelaki dewasa berada dalam bilik bersama-sama ibu remaja berkenaan dan mereka disahkan tiada hubungan mahram atau suami isteri.

JAINJ memaklumkan, siasatan mendapati lelaki berkenaan berbogel dalam selimut manakala keadaan katil dan cadar pula tidak kemas serta bantal bersepah.

“Wanita pula pakai baju tidur separuh peha dan lengan pendek tetapi tidak memakai coli serta tidak juga berseluar dalam.”

Selepas lelaki berpakaian dengan seluar panjang dan memakai baju, soal siasat diteruskan dan mereka kelihatan terkejut.

Kedua-duanya kemudiannya diminta memberi penjelasan berhubung kehadiran lelaki berkenaan di rumah tersebut.

Lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an, sudah berkahwin dan mempunyai anak, manakala wanita berkenaan merupakan seorang ibu tunggal serta merupakan rakan sekerja di tempat kerja yang sama.

Maklum JAINJ, pengadu mendakwa pasangan itu sudah banyak kali berdua-duaan di rumah berkenaan dan biasanya lelaki terbabit datang selepas pukul 12 tengah malam.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat,” tambah kenyataan itu lagi. – MalaysaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast