Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menahan dua penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dalam Op Motosikal (OSJ) di sekitar sebuah sekolah menengah di Ampang semalam.

Operasi yang dijalankan pada 20 April lalu dibuat susulan aduan awam berhubung kegiatan penunggang motosikal yang melakukan aksi berisiko di kawasan berkenaan.

Menurut JSPT, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi telah melakukan pemantauan rapi sebelum berjaya menahan dua individu yang didapati melakukan aksi wheelie secara berulang kali sehingga membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain.

“Hasil tindakan penguatkuasaan, dua tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu, empat motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 akta sama manakala 17 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” menurut kenyataan.

Kesemua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ampang untuk tindakan lanjut.

JSPT menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas khususnya melibatkan penunggangan secara berbahaya yang boleh mengancam keselamatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast