KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau menggunakan nama Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk meyakinkan sekumpulan individu supaya melabur dalam sebuah yayasan miliknya.
Datuk Seri G. Gnanaraja berkata, beliau tidak pernah menggunakan pengaruh Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan isteri untuk menipu pelabur-pelabur tersebut agar mempercayai beliau diberikan lesen perbankan.
Jelas saksi pendakwaan ke-37 (SP37) itu, beliau sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut dan polis mengarahkannya memulangkan wang kepada pelabur-pelabur berkenaan.
“Saya membuat laporan polis dan sudah memulangkan wang seperti yang diarahkan. Apa-apa perkara yang timbul telah diselesaikan dengan baik, tiada isu,” ujarnya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Gnanaraja memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Terdahulu, Hakim Azura Alwi membenarkan Gnanaraja disoal balas oleh pasukan peguam berkaitan kes saman yang difailkan sekumpulan pelabur terhadapnya atas dakwaan menipu menggunakan nama Najib dan isteri.
Mahkamah membenarkan pembelaan menyoal balasnya dan memperkenalkan keterangan dalam kes saman itu untuk digunakan pada perbicaraan kes Guan Eng.
“Pembelaan boleh soal balas saksi terebut, namun mahkamah akan campur tangan jika soalan tersebut dirasakan tidak relevan,” ujar Azura.
Isu mengenai saman itu dibangkitkan oleh pasukan pembelaan atas dakwaan Gnanaraja seorang pembohong kerana menggunakan nama bekas Perdana Menteri dan isteri sekitar tahun 2016 demi meyakinkan pelabur bahawa beliau diberikan lesen perbankan.
Peguam Ramkarpal Singh berhujah, saksi berkenaan mempunyai kecenderungan untuk tidak berkata benar dalam kes Guan Eng dan kredibilitinya tidak wajar dipercayai oleh mahkamah.
“Ini adalah peluang kami untuk cabar kredibiliti saksi dengan menggunakan dokumen yang telah dikemukakan di mahkamah.
“Plaintif dalam kes saman itu menyatakan saksi ini menggunakan nama Najib dan Rosmah untuk mempelawa orang ramai membuat pelaburan dalam sebuah yayasan yang mana beliau adalah pengarahnya,” hujah peguam.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh Wan Shaharuddin atas alasan ia merupakan percubaan peguam untuk menunjukkan saksi itu mempunyai tingkah laku yang buruk walhal isu yang dibangkitkan tiada kaitan dengan kes terhadap Guan Eng.
“Apa yang mereka cuba dibangkitkan ialah Gnanaraja seorang penipu. Saya tiada masalah jika dokumen yang ingin digunakan itu dibuat oleh saksi atau dalam pengetahuannya.
“Namun dokumen itu bukan milik beliau (Gnanaraja),” hujah Wan Shaharuddin.
Azura kemudian menetapkan perbicaran disambung pada 6, 7 dan 14 Mei serta 4 dan 5 Jun ini.
Mahkamah turut menetapkan 6 Mei bagi memutuskan permohonan pendakwaan untuk meminda salah satu daripada empat pertuduhan terhadap Guan Eng. – MalaysiaGazette















