KOTA TINGGI – Projek Jambatan Kota Tinggi Bypass di sini dibina dengan kos lebih RM104 juta kini siap 85 peratus dan dijadualkan siap pada 28 Julai ini.
Timbalan Menteri Kerja, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, proses tersebut melibatkan empat lorong dengan dua hala yang mempunyai 464 meter panjang dan 22.6 meter lebar.
“Selain itu jalan sepanjang 1,359 meter menuju ke jambatan akan dibina di kedua-dua arah. Projek ini dimulakan pada September 2020 dan semasa pandemik Covid-19 dihentikan sementara.
“Jambatan lama akan dirobohkan selepas projek ini siap,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi di bandar ini hari ini.
Beliau berkata, jambatan baharu itu lebih tinggi tidak seperti jambatan lama yang lebih rendah dan mengganggu laluan air.
Sementara itu, beliau berkata, JKR daerah melakukan kerja-kerja menyelenggara jalan Persekutuan sepanjang 772.91 kilometer (km) dan jalan negeri 135.59 km.
Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, ini merangkumi kerja-kerja rutin, berkala, turapan serta bukan turapan, saliran, pembetung dan cerun.
Beliau memberitahu, sehingga April lalu sebanyak RM42.863 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan termasuk pembaikan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda.
Dalam masa sama katanya, tiga projek jalan Persekutuan bernilai RM10 juta dan satu projek mitigasi banjir kerajaan negeri bernilai RM2.3 juta sedang dilaksanakan.
“Sebanyak enam projek bangunan Persekutuan bernilai RM54.4 juta dan satu projek negeri bernilai RM2 juta turut dilaksanakan melibatkan pembinaan mahkamah, klinik kesihatan, sekolah sukan, masjid, institut latihan kemahiran dan kuarters,” katanya.
Selain itu katanya, 24 projek tambahan blok sekolah dirancang sebagai perintis penempatan murid enam tahun ke Darjah 1 pada 2027 yang menggunakan kaedah modular dan Sistem Binaan Berindusri (IBS).
“Sebanyak RM8.6 juta turut diperuntukkan bagi tiga projek naik taraf dan penyelenggaraan bangunan institut latihan, sekolah dan pejabat kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette
















