JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan kerajaan mempertimbangkan kembali sistem subsidi menyeluruh tanpa kuota apabila harga minyak melepasi AS$100 setong.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, langkah tersebut perlu disusuli dengan menetapkan semula harga pam di stesen minyak kepada kadar yang tidak membebankan rakyat.
“Pada masa yang sama, kawalan terhadap ketirisan perlu diperkukuh melalui pemantauan sempadan, audit storan, penguatkuasaan di stesen minyak serta penerusan penggunaan mekanisme seperti pengesahan identiti, had pembelian dan undang-undang ke atas kenderaan asing.
“Langkah ini penting bagi memastikan kerajaan masih mempunyai keupayaan untuk kembali kepada sistem subsidi bersasar apabila harga minyak kembali stabil di bawah paras tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal terkawal, kerajaan juga perlu mengimbangi perbelanjaan dengan penjimatan dalam sektor lain seperti pengurangan kos operasi dan penstrukturan semula projek berskala besar.
Dalam masa yang sama katanya, subsidi wajar dimanfaatkan secara strategik untuk membangunkan industri biodiesel tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import minyak mentah, meningkatkan keselamatan tenaga serta membuka peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau.
Pejuang Johor turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas kepada rakyat bahawa sebarang perubahan dasar ini bersifat sementara dan bertujuan mengelakkan kejutan ekonomi.
Selain itu katanya, kerajaan disaran merangka pelan jangka sederhana yang merangkumi mekanisme pelarasan automatik supaya subsidi dapat disesuaikan secara berperingkat-peringkat mengikut perubahan harga minyak dunia tanpa memberi kesan mendadak kepada rakyat.
Berdasarkan analisis semasa katanya, sebelum harga minyak mencapai AS$100 setong, subsidi bersasar masih menunjukkan penjimatan yang jelas, contohnya sekitar RM5 bilion sebulan berbanding RM6.5 bilion bagi subsidi menyeluruh pada paras AS$85 setong.
Walau bagaimanapun, apabila harga mencecah AS$100 setong, kos subsidi bersasar dianggarkan sekitar RM6.5 bilion sebulan manakala subsidi menyeluruh sekitar RM6.8 bilion sebulan menjadikan jurang penjimatan hanya kira-kira RM0.3 bilion sebulan, katanya.
Selepas melepasi paras ini katanya, kedua-dua sistem menunjukkan peningkatan kos yang hampir selari dengan subsidi bersasar mencecah RM9 hingga RM10 bilion sebulan dan subsidi menyeluruh sekitar RM10 hingga RM11 bilion sebulan.
“Ini jelas membuktikan bahawa kelebihan utama subsidi bersasar pada tahap harga tinggi hanyalah dari sudut kawalan ketirisan, bukan penjimatan besar dalam perbelanjaan kerajaan.
Sehubungan itu, Pejuang Johor berpandangan bahawa kerajaan perlu meneliti semula pelaksanaan sistem BUDI95 dan SKDS Diesel apabila harga minyak mentah dunia melebihi AS$100 setong.
Katanya lagi, pada tahap ini, perbezaan kos antara kedua-dua pendekatan menjadi terlalu kecil dan boleh diimbangi melalui penjimatan dalam sektor perbelanjaan lain.
“Tambahan pula, sistem subsidi menyeluruh tanpa kuota dilihat lebih mudah, praktikal dan mesra rakyat kerana kerajaan tidak perlu menentukan kelayakan penerima atau menetapkan kuota penggunaan bahan api, sekali gus mengurangkan beban birokrasi.
“Pendekatan ini juga pernah terbukti berkesan dalam memastikan kestabilan harga pam ketika harga minyak dunia melonjak sehingga AS$147 setong pada pentadbiran terdahulu,” katanya.
Jelas Zainuddin, fenomena pertembungan kos itu berlaku kerana beberapa faktor utama, termasuk kaedah pengiraan subsidi bersasar yang hanya meliputi sebahagian penggunaan bahan api, volum penggunaan diesel yang tinggi khususnya dalam sektor komersial serta isu ketirisan dan penyeludupan yang masih berlaku.
Tambahnya, apabila harga minyak meningkat, nilai subsidi yang bocor turut bertambah sekali gus menyebabkan kos sebenar subsidi bersasar menghampiri subsidi menyeluruh.
Selain itu menurut beliau, tindakan kerajaan mengekalkan harga pam pada paras tertentu walaupun harga global meningkat turut menyumbang kepada peningkatan kos subsidi secara mendadak pada tahap tertentu.- MalaysiaGazette
















