Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Keutamaan Kerajaan MADANI dalam berdepan krisis bekalan global ketika ini adalah untuk melindungi rakyat, mengekalkan bekalan dan keperluan asas, menyokong industri serta memastikan momentum pertumbuhan negara tidak terjejas secara serius, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata Malaysia sedang mengurus satu krisis yang berlarutan dan berkembang secara berperingkat yang menuntut penyesuaian dasar, menguruskan tekanan kos, menjamin bekalan dan keperluan asas serta mengekalkan momentum ekonomi dalam tempoh yang lebih panjang.

Sebarang keputusan dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan ketika ini katanya, mencerminkan satu pendekatan yang pantas, berfokus dan berasaskan data.

“Kita akui risiko yang sedang berlaku, tetapi kita juga yakin bahawa dengan koordinasi yang baik antara kementerian, kerjasama industri dan disiplin pelaksanaan yang tinggi, Malaysia mampu mengharungi episod ketidaktentuan ini dengan lebih tersusun.

“(Sehubungan dengan itu), dalam tempoh ini, semua pihak dituntut untuk bersama-sama melakukan penyesuaian yang berhemat dalam usaha kerajaan untuk meregang bekalan,” katanya dalam taklimat khas berkaitan krisis bekalan global yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata antara pendekatan yang dilaksanakan ialah memperhebatkan kempen amalan baik seperti perbelanjaan berhemat, penjimatan tenaga dan elektrik serta perancangan perjalanan yang lebih cekap demi mengurangkan penggunaan bahan api dan kos harian.

Menurutnya pendekatan itu bagi memastikan penyesuaian berlaku secara tersusun dan terkawal sekiranya tempoh ketidaktentuan berpanjangan.

“Dalam suasana sekarang, kelangsungan semua industri yang kritikal adalah sebahagian daripada strategi survival (penakatan) ekonomi negara.

“Krisis ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa soal tenaga tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu harga, tetapi sebagai isu daya tahan ekonomi, keselamatan bekalan dan keupayaan negara menyesuaikan diri dengan kejutan luar menerusi langkah jangka sederhana dan panjang yang mesti bergerak serentak,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast