KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem komedi-drama Libang Libu yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula 23 April ini.
Mengangkat naratif perpaduan dalam acuan yang santai, filem ini tampil tepat pada masanya dengan gabungan pelakon hebat yang bukan sahaja berpengalaman malah terdiri daripada nama-nama award-winning tanah air.
Dalam landskap industri filem tempatan hari ini, penonton Malaysia sudah lama tidak disajikan dengan sebuah naskhah yang benar-benar memberi ruang untuk mereka berehat dan menikmati hiburan secara santai.
Kebanyakan karya kebelakangan ini membawa tema yang lebih intens, menjadikan pengalaman menonton sesuatu yang memerlukan tumpuan dan emosi yang mendalam.
Namun Libang Libu hadir mengisi kekosongan tersebut dengan sebuah filem yang kembali kepada asas dalam hiburan, membuat penonton ketawa, merasa rileks dan menikmati momen tanpa perlu berfikir dalam.
Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, Libang Libu membawa penonton menyelami kisah sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak.
Pertembungan budaya, agama dan gaya hidup menjadi nadi utama penceritaan, disulami dengan elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.

Menampilkan barisan pelakon mantap seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, Azhan Rani dan ramai lagi, filem ini turut diserikan dengan penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.
Menurut pengarahnya, Bobby Husaini, Libang Libu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi sebuah naskhah yang membawa makna lebih besar.
“Apa yang membezakan Libang Libu dengan karya lain adalah keupayaannya menghidupkan semula pengalaman menonton yang santai tetapi bermakna iaitu gelak tawa bersama di dalam panggung, dalam mood yang rileks dikelilingi famili dan teman rapat.
“Ia bukan tentang mesej yang berat, tetapi tentang momen yang dikongsi.
“Dengan pendekatan yang santai dan penuh drama, Libang Libu membawa kembali jenis hiburan yang sudah lama dirindui oleh penonton Malaysia, hiburan yang mengajak mereka datang untuk ketawa. Selesai menonton, penonton boleh
pulang dengan rasa feel good,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pendekatan penceritaan filem itu sengaja dibina secara ‘ringan tetapi berlapis’ agar mesej perpaduan dapat disampaikan tanpa bersifat terlalu didaktik.
“Kami tidak mahu mengajar secara langsung tetapi mahu penonton merasai sendiri dinamika hubungan antara watak-watak ini. Dalam gelak tawa itu, ada sindiran halus tentang realiti sosial kita,” tambahnya.

Dalam masa sama, Bobby mengakui cabaran terbesar adalah menyeimbangkan elemen komedi dan sensitiviti budaya.
“Apabila kita bercakap tentang perbezaan budaya dan agama, ia memerlukan penelitian yang sangat teliti. Kami banyak berbincangdengan pasukan dan pelakon supaya setiap
adegan kekal autentik, jujur dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” jelasnya
lagi.
Sementara itu, dengan durasi satu jam 47 minit, Libang Libu menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, sarat emosi serta penuh mesej tentang perpaduan, toleransi dan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia. – MalaysiaGazette
















