JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Johor English Language Academy (JELA) di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bertujuan memastikan penyampaian pengajaran lebih efektif dan selari dengan standard pendidikan global.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, pendekatan itu disusun selaras dengan piawaian antarabangsa iaitu Common European Framework of Reference (CEFR).
“Pelaksanaan JELA bukan sekadar melibatkan sesi penilaian awal (placement test), malah merangkumi pembentangan bahan pembelajaran yang tersusun serta latihan intensif kepada guru.
“Dalam masa yang sama, pengenalan sistem ini turut mendukung Teras 1 SRBJ iaitu memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa sesekali mengetepikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Keseimbangan ini amat penting dalam membentuk identiti dan jati diri anak Johor,” katanya selepas meninjau pelaksanaan sesi JELA di SRBJ Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara di sini hari ini.
Beliau berharap usaha murni itu mampu meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris dalam kalangan murid SRBJ, seterusnya memupuk minat untuk berkomunikasi dalam bahasa kedua dengan lebih yakin.
“Inilah asas dalam melahirkan generasi Bangsa Johor yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat global,” ujanya.
Aznan berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) memperkenalkan sistem JELA sebagai platform pembelajaran interaktif yang memfokuskan kepada penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid SRBJ.
Sementara itu, beliau berkata, tinjauan dan pemantauan sesi JELA adalah penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirangka benar-benar memberi impak kepada kemenjadian murid serta meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah.
“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas cetusan ilham penubuhan
SRBJ, satu usaha progresif dalam memperkasa sistem pendidikan negeri Johor ke arah yang lebih holistik, moden dan berkualiti,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















