Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

BATU PAHAT – Seorang pengutip barang lusuh dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini atas kesalahan mengugut mahu menyembelih ibu kandung serta memiliki kabel curi, awal bulan ini.

Johari Ramlan yang berusia 36 tahun dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap ibu kandungnya berusia 74 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kelichap, Senggarang dekat sini pada pukul 9 pagi, 2 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, duda kepada dua anak itu didakwa memiliki dawai tembaga yang diperoleh secara curi di sebuah rumah terbiar di Jalan Sungai Suluh Besar, Senggarang, 3.20 petang, 17 April lalu.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM1,000.

Menurut fakta kes, semasa berada di rumah, tertuduh mengugut memarahi ibunya kerana tidak berpuas hati warga emas berkenaan tidak membenarkannya menggunakan telefon bimbit.

Insiden terbabit turut disaksikan kakak ipar sebelum ibunya membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri dan keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bagi kedua-dua pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat dan tiga bulan dengan kesemuanya berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, 16 April lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast