Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain.

PONTIAN – Seorang pesara berputih mata selepas kerugian RM108,000 akibat menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 61 tahun yang merupakan pesara swasta.

“Mangsa membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian semalam mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tersebut. Mangsa mendakwa kerugian RM108,000.

“Wanita tersebut memaklumkan berurusan dengan individu yang menawarkan pakej pelaburan saham daripada sebuah syarikat pelaburan dengan menjanjikan akan mendapat keuntungan mencecah 80 peratus daripada jumlah pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa melakukan beberapa transaksi secara atas talian ke dalam sebuah akaun syarikat yang dinyatakan bermula dari 1 Mac hingga 17 April lalu semuanya berjumlah RM108,000.

Katanya, mangsa disyaki sudah ditipu oleh pihak syarikat pelaburan tersebut apabila diminta untuk membuat penambahan bayaran bagi sebarang keuntungan yang dipaparkan dalam satu aplikasi.

Jelasnya, modus operandi sindiket pelaburan berkenaan bermula dengan cara mangsa akan dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp bersama-sama rakan sindiket yang menyamar sebagai pelabur.

“Mereka menyamar sebagai pelabur-pelabur yang memainkan watak sebagai ahli baharu menyertai pelaburan tersebut.

“Perbualan dalam kumpulan WhatsApp tersebut hanya menerangkan bagaimana prosedur pelaburan tersebut berlaku dan mangsa akan terpedaya untuk menyertai pelaburan tersebut dengan testimoni-testimoni palsu,” katanya.

Menurut Hadzrat Hussien, semua testimoni palsu tersebut adalah penyamaran pihak sindiket yang menyatakan telah menerima keuntungan berlipat kali ganda.

Mangsa yang terpedaya akan menghubungi individu yang mengendalikan kumpulan WhatsApp tersebut dan akan diminta untuk memuat turun sebuah aplikasi palsu melalui sebuah pautan.

“Mangsa hanya akan diminta untuk menambah jumlah pelaburan serta memantau peningkatan keuntungan yang tidak wujud melalui aplikasi tersebut secara dalam talian,” ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.

Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersil bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast