GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Tanjung Tokong di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pukul 6.45 petang.
Hasil siasatan mendapati mangsa warga tempatan dilaporkan terjatuh dari unit kediamannya sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat lapan bangunan berkenaan pukul 5.49 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemeriksaan awal di lokasi serta ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Rozak, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut telah dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu tular beberapa keping gambar menunjukkan pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain mayat mangsa ditutup dengan kain putih. – MalaysiaGazette
















