KULAI – Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2 di sini yang dijadualkan beroperasi dalam tahun ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sesi persekolahan SK berkenaan hanya akan membabitkan kelas Tahun 2, 3 dan 5 sebelum beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini dalam persiapan terakhir bagi membukanya selepas mendapat jumlah murid yang bersetuju berpindah ke sekolah berkenaan dari dua sekolah berdekatan.
“Kita sedang melaksanakan kerja persediaan pengoperasian terakhir termasuk mengadakan sesi libat urus bersama dengan ibu bapa yang tinggal di kawasan setempat dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Ini kerana apabila sekolah ini tidak dibuka dari awal tahun iaitu Januari, tetapi dibuka di tengah-tengah tahun ini, maka kita hendak membuat penyuraian murid atau pemindahan murid dari SK Bandar Putra dan SK Putra Utama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak ke SK Bandar Putra 2 hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parliman Kulai, Teo Nie Ching dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman.
Projek pembinaan SK Bandar Putra 2 yang bernilai RM35.6 juta itu dimulakan pada Ogos 2021 dan diserahkan kepada KPM pada November 2025.
Sekolah ke-76 di Kulai itu mempunyai 36 bilik darjah dengan tiga kelas prasekolah yang mana dua adalah prasekolah perdana dan satu lagi prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) selain dua lagi kelas PPKI.
Menurut Kah Woh, satu sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat bersama-sama ibu bapa murid dua sekolah iaitu SK Bandar Putra dan SK Putra Utama sebelum operasi penyuraian murid dibuat dan ditempatkan di sekolah baharu berkenaan.
“Kita akan lihat permintaan ibu bapa sama ada mereka mahu anak mereka berpindah ke sekolah ini atau kekalkan anak-anak mereka di sekolah asal, kita memberikan pilihan kepada ibu bapa pada tahun pertama pengoperasian kita,” katanya.
Beliau berkata, jika mengambilkira sebuah kelas berkapasiti 35 murid, maka SK Bandar Putra 2 itu boleh menampung seramai 1,260 murid tidak termasuk prasekolah dan juga PPKI.
“Sekolah ini dibina memandangkan pembangunan pesat di kawasan sekitar dan bagi mengurangkan beban di dua sekolah berhampiran yang padat. Jadi, demi keselesaan murid, kita akan menyuraikan murid di dua sekolah berhampiran,” ujanya.
Tambahnya, penyuraian murid dan kesediaan daripada segi guru akan dibuat dan KPM umumkan tarikh pengoperasian selepas memuktamadkannya.
“Daripada segi guru pula, kita akan melakukan prosedur pembukaan sekolah baharu iaitu menyediakan waran penjawatan guru bergantung kepada keperluan sekolah dan sekolah ini sahaja kita jangkakan akan ada 80 guru apabila beroperasi sepenuhnya nanti,” jelasnya.
Dengan adanya SK Bandar Putra 2 itu katanya, SK Bandar Putra yang sebelum ini mempunyai 64 kelas dengan 2,165 murid boleh dikurangkan kepada 37 kelas menjadi hanya 1,042 murid sahaja.
Sementara SK Putra Utama yang mempunyai 41 kelas dengan 1,302 murid akan dikurangkan satu kelas menjadikan murid tinggal 1,177, ujarnya.
Pada masa sama, walaupun belum beroperasi, sekolah itu sudah mendapat sambutan baik apabila pendaftaran kemasukan Tahun 1 bagi 2027 sudah melebihi 230 murid.
Beliau berharap dengan pembukaan sekolah itu nanti dapat memenuhi hasrat KPM dalam memastikan akses pendidikan sampai kepada semua masyarakat terutamanya di kawasan padat seperti Bandar Putra, Kulai mempunyai sekolah yang mencukupi bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.- MalaysiaGazette
















