KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.
Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu.
“Enfiniti brings back Puteri Gunung Ledang The Musical in an exciting new staging, directed by Tiara Jacquelina October 2026.
“Secara rasmi, uji bakat untuk pementasan baharu Puteri Gunung Ledang The Musical dibuka!

Pihak produksi Infiniti mencari para penghibur pentas yang mempunyai keupayaan lakonan, nyanyian, dan pergerakan yang kuat, serta kejujuran emosi, karisma pentas, dan kecintaan mendalam terhadap penceritaan.
“Termasuklah generasi baharu penghibur pentas untuk menghidupkan legenda termasuk watak Puteri, Hang Tuah, Sultan, Adipati, Bayan dan lain-lain. Butiran penuh uji bakat boleh didapati melalui @pglthemusical di semua platform,” tulis Tiara di media sosial teater itu.
Pementasan terbaharu itu juga menandakan permulaan bab baharu bagi legenda tersebut, dengan uji bakat kini dibuka bagi memilih barisan pelakon segar untuk menerajui kisah Puteri Gunung Ledang ke generasi akan datang.
Sebagai rekod, Puteri Gunung Ledang The Musical bermula sebagai sebuah filem epik sebelum mencatat kejayaan sebagai fenomena teater muzikal yang habis terjual, memikat penonton di Malaysia dan Singapura.
Muzikal ini telah ditonton lebih 100,000 penonton, meraih pelbagai anugerah dan terus diingati sebagai antara karya paling berpengaruh dalam sejarah seni persembahan Malaysia. – MalaysiaGazette















