Ops Tapis di Sandakan yang dijalankan petang semalam. - Foto: FB Polis Daerah Sandakan.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan dalam satu operasi khas Ops Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di kawasan Taman Mawar, Batu 5 baru-baru ini.

Operasi yang berlangsung dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang itu berjaya menahan seorang lelaki kerana memiliki dadah jenis syabu manakala dua lagi ditahan kerana disyaki menggunakan dadah berbahaya.

Menurut kenyataan hari ini, kesemua suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya menerusi Facebook Polis Daerah Sandakan.

Kes memiliki dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes penggunaan dadah pula disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Semua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan tekad Ketua Polis Daerah Sandakan, George Abd Rakman, dalam usaha berterusan membanteras jenayah dadah di daerah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast