KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji dan meneliti secara menyeluruh kertas siasatan berkaitan insiden tembakan yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal, Melaka, tahun lalu.
Jabatan itu dalam kenyataan malam ini menyatakan, penelitian itu membolehkan sebarang arahan lanjut yang sewajarnya dikeluarkan jika perlu.
“Pada 17 April lalu, AGC telah ditaklimatkan mengenai perkembangan siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden tembakan pada 24 November 2025.
“Jabatan ini memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang ada bagi memastikan proses keadilan terhadap semua pihak terpelihara,” menurut kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/02/10/kes-tembak-durian-tunggal-kertas-siasatan-sudah-lengkap/
Terdahulu, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, menuntut penjelasan segera daripada Peguam Negara berhubung status siasatan kes tersebut.
Sejak hampir lima bulan insiden itu berlalu, Gobind yang juga Menteri Digital mendakwa belum ada tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu terlibat.
Tambah beliau, keseriusan kes berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana dakwaan serius sudah dibuat termasuk mengemukakan bukti termasuk rakaman bagi menyokong kes berkenaan.
“Dalam keadaan ini, adalah munasabah untuk menuntut penjelasan mengenai status siasatan kes ini.
“Ini adalah perkara berkepentingan awam. Orang ramai berhak mengetahui apa sebenarnya berlaku dan keluarga mangsa berhak mendapat jawapan serta keadilan,” katanya melalui kenyataan.
Dalam kejadian 24 November tahun lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira pukul 4 pagi.
Insiden itu menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an, mengalami kecederaan serius pada lengan kiri. – MalaysiaGazette
















