Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Syarikat tempatan perlu membuktikan kemampuan untuk membangunkan sistem pertahanan negara berasaskan kecerdasan buatan (AI) tempatan sebelum kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini tiada mana-mana syarikat tempatan yang datang kepada kerajaan dan membuktikan teknologi mereka mampu meningkatkan pertahanan negara.

Kita boleh cakap lah, kalau dia ada apa-apa dia present lah. Jangan cakap saja, kita pun tak pernah tengok.

“Semua orang akan cakap kita kena bangunkan sistem pertahanan negara berasaskan kepada cadangan syarikat tempatan.

“Setakat ini daripada dia (Nizra Industries) tak adalah,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (berdiri, tengah) bersama timbalannya, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman (berdiri, kiri) menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali (dua kanan) bergambar selepas menandatangani penganugerahan kontrak dan Program Kerjasama Industri (ICP). Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 APRIL 2026.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak, Surat Hasrat dan Penganugerahan Program Kerjasama Industri (ICP) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026.

Turut hadir timbalannya, Adli Zahari dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pertahanan tempatan, Nizra Industries, Nik Iruwan Nik Izani supaya Malaysia membangunkan sistem pertahanan menggunakan kepakaran dan teknologi tempatan.

Nik Iruwan berkata, sudah tiba masanya Malaysia membangunkan sistem pertahanan yang dipacukan teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (GenAI) sendiri sebagai persediaan awal dalam mendepani konflik moden pada masa akan datang.

Khaled juga tidak menafikan banyak syarikat tempatan kini sudah bersedia dengan produk sendiri yang berpotensi untuk diketengahkan sebelum layak melalui proses perolehan daripada kerajaan.

“Kita dapat lihat banyak syarikat tempatan yang sudah bersedia tunjukkan produk dia kerana dia tahu pada akhirnya kalau produk dia boleh diterima kerajaan akan ambil untuk lakukan perolehan.

“Tapi kita sedar bahawa cabaran peperangan akan datang akan banyak gunakan sistem teknologi komunikasi yang berkembang itu sangat penting.

“Keterhubungan antara semua sistem untuk membuat keputusan yang tepat dan pantas apabila berlaku apa-apa ancaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast