KUALA LUMPUR – Dua peguam daripada sebuah syarikat guaman ditahan reman kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk pengeluaran dana pemegang amanah bagi satu projek pembangunan hartanah di ibu negara berjumlah kira-kira RM8 juta untuk kepentingan peribadi dan pelaburan.
Perintah reman selama empat hari sehingga 25 April 2026 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 9.45 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2023 hingga 2025.
“Wang berjumlah kira-kira RM8 juta iaitu wang amanah yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan sebuah bangunan dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju,” katanya.
Sementara itu, Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette
















