Keadaan Sungai Ulu Sedili Kecil di Kota Tinggi yang merupakan sumber bekalan air mentah ke LRA Lok Heng kini kering akibat kemarau. - Foto Facebook Mohamad Fazli Mohamad Salleh

KOTA TINGGI – Gangguan bekalan air di Felda Lok Heng dan Felda Waha berpunca daripada cuaca kering berpanjangan yang menyebabkan paras air Sungai Ulu Sedili Kecil merosot ketara.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keadaan itu tidak lagi mampu menampung operasi LRA Lok Heng, sekali gus menjejaskan lebih 4,000 pengguna di kawasan terlibat.

Susulan itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, satu langkah segera diambil bagi mengatasinya apabila set loji penyahgaram dipindahkan dari Forest City ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng.

“Sebelum ini, kerajaan negeri bersama-sama pihak berkaitan telah melaksanakan beberapa usaha mitigasi termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub serta percubaan pemindahan air dari Sungai Lukah.

“Namun, kedua-dua kaedah itu tidak dapat diteruskan berikutan sumber air terhad selain tahap kemasinan tinggi yang tidak sesuai dirawat menggunakan fasiliti sedia ada.

“Sebagai penyelesaian segera, Ranhill SAJ kini memindahkan dan memasang loji penyahgaram berkenaan yang dijangka mampu menghasilkan kira-kira dua juta liter air terawat sehari bagi membantu menstabilkan semula bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, tindakan pembenihan awan turut dijadualkan pada 22 dan 23 April bagi meningkatkan peluang hujan selepas keadaan awan sebelum ini didapati tidak sesuai.

Beliau berharap langkah kecemasan tersebut dapat mempercepatkan pemulihan bekalan air sekali gus mengurangkan kesulitan penduduk di Felda Lok Heng dan Felda Waha.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast