[GAMBAR ARKIB] Murid-murid menonton televisyen sebelum kelas bermula semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Pelarian Rohingya Al-Ikhlas Selayang, Selangor.

PETALING JAYA – Malaysia berhadapan dilema yang kompleks iaitu antara keperluan menjunjung kedaulatan dan keselamatan negara dengan tuntutan mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.

Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ialah Prof Datuk Dr. Mohd Yusof Othman bagaimanapun berkata, negara mampu menguruskan isu kompleks itu secara berkesan, berhemah dan berhikmah kerana memiliki pengalaman dalam mengurus 250,000 pelarian Vietnam antara tahun 1975 hingga 1990-an.

Selain itu, kerajaan pernah memberi perlindungan kepada rakyat Bosnia dalam krisis negara berkenaan yang berlaku antara 1992-1995, katanya.

Menurut beliau, dalam kerangka maqasid syariah, perlindungan terhadap pelarian berkait langsung dengan memelihara nyawa, maruah, harta dan kelangsungan hidup di mana kegagalan melindungi pelarian hakikatnya merupakan kegagalan dalam membangun moral dan agama.

“Saya ingin menyeru agar isu pelarian ini tidak hanya dibincangkan dalam seminar, simposium, persidangan tetapi turut dihidupkan di mimbar masjid dan dalam kurikulum pendidikan di segenap wadah.

“Hal ini merupakan usaha penting bagi menangani isu xenophobia iaitu ketidakselesaan yang mendalam atau permusuhan terhadap individu, kumpulan, atau warga asing.

“Saya akui, usaha ini tidak mudah, namun ia harus diusahakan sebaik mungkin agar akhirnya kita dapat mewujudkan kepemimpinan, pembuat serta pelaksana dasar yang dapat mempertahankan keadilan; kumpulan media yang sentiasa berusaha menyemarakkan kasih sayang, bukan sebaliknya serta masyarakat yang memiliki empati dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya semasa berucap pada Simposium Islam dan Kemanusiaan 2026 di sini hari ini.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), menganjurkan “Simposium Islam dan Kemanusiaan 2026” bagi membincangkan isu pelarian yang semakin meruncing di peringkat global. Foto IKIMFM.

Simposium itu anjuran IKIM dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi membincangkan isu pelarian yang semakin meruncing di peringkat global.

Dr. Mohd Yusof menambah,  isu pelarian bukan sekadar isu ‘orang lain’ dan bukan ‘isu saya namun merupakan cerminan kegagalan sistem global dalam menjamin keamanan dan keadilan.

Jelas beliau, sekiranya dunia gagal bertindak hari ini, krisis tersebut akan terus menjadi kompleks bukan sahaja sebagai isu kemanusiaan, tetapi juga sebagai cabaran keselamatan dan kestabilan global.

Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Othman. Foto IKIMFM.

“Golongan pelarian mungkin kehilangan negara, namun mereka tidak seharusnya kehilangan maruah dan harapan.

“Oleh yang demikian, kita bertanggungjawab berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi hak dan keperluan mereka sebagaimana digariskan oleh syarak,” katanya.

Dr. Mohd Yusof memberitahu, bahawa Malaysia kekal sebagai negara perlindungan sementara penting dengan seramai 218,268 pelarian dan pencari suaka berdaftar setakat awal 2026, majoritinya dari Myanmar termasuk komuniti Rohingya.

Tambahnya, situasi tersebut menjadikan isu pelarian di Malaysia bukan lagi bersifat sementara sebaliknya satu realiti berpanjangan yang memerlukan pendekatan dasar lebih inklusif serta kerjasama antarabangsa yang kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast