KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim mengecam penyebaran fitnah berunsur agama dalam politik, menyifatkannya sebagai tindakan berbahaya yang merosakkan reputasi serta mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, permohonan maaf oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung dakwaan berkaitan larangan bertakbir dan Qunut Nazilah hanya berlaku selepas fitnah itu berlegar selama bertahun-tahun.
“Fitnah dalam politik ibarat racun. Sekali disebar, ia merosakkan reputasi, mencetus kebencian dan menipu rakyat dengan naratif palsu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dakwaan yang dimainkan sejak 2023 itu bukan sahaja tidak benar, malah disifatkan sengaja memanipulasi sentimen agama demi kepentingan politik sempit.
Kamil berkata, tempoh tiga tahun penyebaran fitnah tersebut memberi kesan besar kepada persepsi rakyat, termasuk menjejaskan kepercayaan terhadap institusi pendidikan.
“Sepanjang tempoh itu, berapa ramai rakyat telah terpengaruh dengan cerita tidak benar yang disebarkan di pentas ceramah dan media sosial,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyifatkan penyebaran fitnah berkenaan bukan bersifat individu semata-mata, sebaliknya melibatkan jentera politik yang memperluaskan naratif tersebut.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, permohonan maaf tidak mampu menghapuskan kesan kerosakan yang telah berlaku.
“Reputasi yang tercalar tidak pulih sekelip mata, dan persepsi negatif yang telah tertanam tidak akan hilang hanya dengan satu permohonan maaf,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar amalan ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian tidak dinormalisasikan dalam landskap politik negara.
“Ini taktik lama cipta tuduhan sensasi, mainkan emosi dan agama, kemudian minta maaf apabila terdedah,” tegas beliau.
Beliau turut menegaskan isu perjuangan Palestin tidak wajar diperalatkan untuk kepentingan politik.
“Perjuangan kemanusiaan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan politik. Ia menghina keikhlasan rakyat Malaysia yang benar-benar prihatin,” katanya.
Kamil menegaskan politik matang memerlukan integriti, bukan manipulasi, dan menyeru tindakan tegas diambil bagi mengelakkan kitaran fitnah terus berulang. -MalaysiaGazette
Ahli Parlimen Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina, kes fitnah selesai luar bicara
















