KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada warganegara Malaysia yang terjejas akibat kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Katanya, penggantian itu melibatkan Sijil Kelahiran, MyKid, MyKad, Sijil Kematian dan Sijil Perkahwinan Bukan Islam oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
KDN dalam kenyataannya berkata, dalam melaksanakan inisiatif tersebut, setiap permohonan penggantian disemak dan disahkan secara teliti berdasarkan rekod sedia ada dalam pangkalan data JP bagi memastikan hanya individu yang layak diberikan kemudahan itu.
“Bagi memastikan urusan mangsa dipermudahkan, JPN akan menggerakkan inisiatif MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) yang menyediakan perkhidmatan bergerak di kawasan insiden, bagi membolehkan mangsa mendapatkan penggantian dokumen seperti Sijil Kelahiran, MyKid dan MyKad secara terus, cepat dan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, Jabatan Imigresen (JIM) turut menyediakan penggantian pasport secara percuma tertakluk kepada syarat kelayakan yang berkuat kuasa.
Katanya, keutamaan perkhidmatan akan diberikan bagi mempercepatkan proses permohonan dengan keutamaan diberikan kepada mangsa yang terjejas bagi mempercepatkan proses permohonan.
Menurut KDN, usaha itu mencerminkan komitmen Kerajaan memastikan bantuan disampaikan secara cepat, mudah dan berperikemanusiaan, selaras dengan nilai ihsan dan keprihatinan. -MalaysiaGazette















