KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kredibiliti di peringkat global apabila sekali lagi terpilih sebagai Ahli Majlis Pentadbiran Pusat Asia dan Pasifik bagi Pemindahan Teknologi (APCTT) bagi penggal 2026-2029.
Keputusan itu dicapai dalam pemilihan yang berlangsung semasa sesi ke-82 Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) di Bangkok, Thailand, semalam.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan mengesahkan Malaysia merupakan antara lapan negara yang diberi mandat untuk menganggotai majlis tersebut bagi tempoh tiga tahun akan datang.
“Sebagai badan utama di bawah naungan UNESCAP, APCTT menggalas tanggungjawab besar dalam memperkukuh kerjasama teknikal serta mempromosikan perkongsian teknologi dalam kalangan negara anggota.
“Langkah ini juga penting bagi memantapkan kerjasama sains, teknologi dan inovasi (STI) ke arah menyokong agenda pembangunan mampan,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, penglibatan Malaysia dalam APCTT bukanlah sesuatu yang baharu yang mana negara diwakili oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Pentadbiran bagi penggal 2006-2009, 2014-2017, dan 2017-2020.
“Pemilihan semula ini secara tidak langsung membuktikan kepercayaan berterusan komuniti antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memacu sektor teknologi sejak penubuhan APCTT pada tahun 1977,” menurut kenyataan itu lagi.
Sejajar dengan pengiktirafan itu, tambahnya, Malaysia kekal komited untuk menyumbang secara aktif dalam memperkasakan peranan APCTT, sekali gus memastikan pemindahan teknologi di rantau Asia dan Pasifik memberi impak positif kepada negara anggota. – MalaysiaGazette















